| |
Sinopsis Permata Aurorius
Di dalam dunia Aurora, keseimbangan adalah segala-galanya...
Rizal seorang remaja yang menjalani kehidupan
biasa telah dijemput ke dunia Aurora, untuk menjalankan tanggungjawab
yang tidak pernah difikirkannya. Kedatangannya ke dunia Aurora
disambut oleh puak Armorikus yang diketuai oleh Atinius dan dibantu
oleh seorang karman yang bernama Nazril. Daripada Atinius, Rizal
tidak lagi dikenali sebagai Rizal tetapi sebagai Artakus, satu
nama yang amat disanjung dan dinanti-nantikan oleh Armorikus untuk
membebaskan mereka dari cengkaman penjajah bangsa Morrok yang
zalim dan ganas. Daripada Atinius juga, Artakus belajar mengenai
Aurora, yang dikongsi bersama oleh 5 puak, Armorikus, Argida,
Jegadai, Jendai dan Inkatus. penjajahan Morrok telah menyebabkan
perpecahan 5 puak ini dan Artakus adalah pemimpin yang dipercayai
dapat menyatukan mereka semula daripada ramalan yang diberikan
oleh kitab-kitab purba yang dinamakan kitab-kitab Id, dan menghalau
Morrok keluar dari Aurora.
Namun, tujuan Artakus dijemput ke Aurora adalah
lebih besar dari itu. Di malam sambutan yang diadakan untuknya
oleh Armorikus, Artakus bertemu dengan Merkia, makhluk yang berkonsepkan
cahaya siang yang sebenarnya bertanggungjawab membawa Artakus
ke dunia Aurora. Merkia menerangkan bahawa Artakus dibawa bukan
setakat untuk membebaskan Armorikus dan Aurora dari Morrok tetapi
untuk membantu Merkia menentang Herakos, makhluk yang berkonsepkan
kegelapan malam. Kewujudan Merkia dan Herakos walaubagaimanapun
dianggap sebagai cerita-cerita lama di dalam kitab-kitab Id oleh
penduduk Aurora. Melalui Merkia, Artakus mengetahui tentang rancangan
Herakos yang menggunakan ramalan kitab-kitab Id untuk menguasai
alam Aurora. Antara ramalan-ramalan itu ialah pertembungan antara
Arasis (matahari) dan Osria (bulan), perpecahan 1 kepada 5 dan
yang terpenting sekali ialah kemusnahan kunci keseimbangan alam
Aurora iaitu permata Aurorius. Herakos telah berjaya menggunakan
kerajaan Morrok sebagai alat untuk memecahkan Aurora kepada 5
puak yang berpecah. Dia juga telah berjaya menguasai permata Aurorius
dan kini hanya menunggu saat pertemuan Arasis dan Osria yang berlaku
beberapa musim sekali sebagai waktu yang sesuai untuk memusnahkan
permata itu. Untuk menghalang Herakos, Artakus perlu menyatukan
kembali 5 puak Aurora menjadi satu dan merampas permata Aurorius
dari Herakos. Merkia mengurniakan Artakus sebilah pedang yang
mempunyai kuasa Arasis yang diberi nama Arkus sebagai senjata
menghadapi Herakos dan kuncu-kuncunya yang berasaskan kegelapan.
Kedatangan Artakus ke Aurora membawa semangat
baru kepada puak Armorikus. Artakus sentiasa ditemani oleh Adonis,
Esis dan Hortas. Artakus juga sering mengunjungi Laira dan ibunya
Fera yang menjaga Artakus semasa dia mula-mula tiba di perkampungan
Armorikus di lembah Takaryan yang akhirnya membibitkan percintaan
di antara Artakus dan Laira. Artakus juga sentiasa ditemani seekor
kuda putih yang menjadi lambang kehadiran Artakus di Aurora yang
dinamakan Ilia. Secara tidak sengaja, Artakus menyelamatkan seekor
jin yang bernama alkarambakalamatoozababusyka atau lebih dikenali
sebagai babusyka daripada dimakan oleh seekor jin jahat yang bernama
Don Diego Dikulgai. Sebagai untuk membalas jasa Artakus yang menyelamatkan
nyawanya, Babusyka berjanji menjadi khadam Artakusuntuk selama-lamanya.
Perancangan awal Artakus mendapati bukanlah mudah
untuk menyatukan kelima-lima puak Aurora disebabkan oleh kedudukan
geografi masing-masing. Armorikus berada bahagian barat Aurora,
Jegadai dan Jendai di bahagian Timur, Inkatus di sebelah utara
dan Argida di bahagian selatan. Jalan keluar dari lembah Takaryan
ditutup oleh Genting Kolossus yang mana terdapat sebuah kota yang
dikuasai oleh tentera Morrok (kota ini ditawan di dalam suatu
peperangan di mana seorang tentera dari puak Armorikus telah berpaling
tadah kepada Morrok dan menyebabkan permusuhan yang berpanjangan
antara Armorikus dan Argida). Menyedari bahawa untuk menyerang
Morrok di dalam kota di genting itu dengan jumlah kekuatan yang
kecil adalah suatu tindakan yang sia-sia, Artakus merancang untuk
mengumpan Morrok keluar dari kota itu dan menghadapi mereka di
kawasan terbuka. Artakus memimpin sekumpulan kecil tentera Armorikus
dan memasang obor di sebuah bukit yang boleh dilihat dari genting
Kolossus itu dengan tujuan memberi persepsi bahawa Armorikus sedang
mengumpulkan tentera untuk menyerang Morrok. Dengan ini, Artakus
berharap Morrok akan keluar dari Kolossus dan menyerang mereka
di kawasan yang terbuka itu.
Malang menimpa apabila mereka diserang dan Artakus
ditawan oleh tentera Morrok dan dibawa ke Kolossus untuk disoal
siasat. Daripada soal siasat yang dijalankan, Artakus yakin bahawa
mereka akan memakan jerat yang dipasang untuk mereka. Nasib menyebelahi
Artakus apabila Babusyka datang menyelamatkannya dan Artakus selamat
kembali ke tentera Armorikus untuk memberitahu mereka supaya bersiap
sedia. Setelah menunggu beberapa hari, tentera Morrok akhirnya
keluar dari Kolossus dan di lembah Urdakis, tentera Armorikus
telah siap siaga menunggu mereka. Peperangan yang pertama sejak
penjajahan Morrok itu berlaku dengan hebat dan dengan taktik yang
bijak oleh Artakus, Armorikus berjaya mengalahkan Morrok yang
mempunyai bilangan tentera yang jauh lebih ramai dan akhirnya
meneruskan serangan ke Kota Kolosssus dan menawannya.
Selepas peperangan itu, Artakus dikunjungi oleh
Merkia yang kelihatan semakin uzur dan membawa berita yang menggemparkan.
Merkia memberitahu Artakus bahawa Herakos telah menyerangnya dan
telah menjumpai cara untuk memusnahkan permata Aurorius dengan
tidak perlu menunggu waktu Arasis bertemu Osria (Herakos menganggap
dirinya sebagai Osria dan Merkia sebagai Arasis dan pertempuran
antara mereka sudah dianggap oleh Herakos sebagai pertemuan antara
Arasis dan Osria) dan Artakus diminta oleh Merkia supaya pergi
ke Kota Arialun yang dikuasai oleh Morrok yang terletak di selatan
Aurora dan mencuri permata itu yang disimpan di dalam kota itu.
Dengan ditemani oleh Adonis (dan sekuntum bunga, Arianur yang
dihadiahkan oleh Laira sebelum pemergiannya), Artakus mengembara
di dunia yang begitu asing baginya. Dia terpaksa melalui berbagai
halangan untuk tiba di Arialun. Antaranya ialah Paya Tozor yang
digeruni kerana keadaannya yang sentiasa berkabus dan penghuninya
ialah Orrok, jembalang yang gemar bermain teka teki dan akan memakan
mangsanya yang tewas di dalam permainan teka tekinya. Dengan kebijakannya,
Artakus berjaya mengalahkan Orrok dan meneruskan perjalan ke Arialun.
Mereka berjaya memasuki Arialun dengan menyertai
rombongan pedagang yang sentiasa masuk ke Arialun untuk berniaga.
Pada waktu malam seperti yang dirancang, mereka naik ke menara
Gargola, yisyrak yang mentadbir Arialun. Tidak seperti dijangkakan,
usaha mereka begitu mudah kerana tiada tentera Morrok yang menghalang
mereka. Dipuncak menara, mereka menemui jawapannya. Gargola telah
sedia menunggu mereka bersama-sama dengan 2 ekor jembalang kembar
yang bernama Yarrak. Salah satu daripada jembalang itu mempunyai
identiti yang lain; Babuskya. Di situlah. Artakus menyedari bahawa
kedatangannya ke Arialun telah dorancang oleh Herakos. Herakos
telah mengetahui kedatangannya ke Aurora dan menyedari bahaya
yang dibawa oleh Artakus terhadap rancangan jahatnya. Babuskya
telah dihantar untuk mengintip Artakus, kekalahan Morrok di Urdakis
adalah disengajakan, Merkia yang datang bertemu Artakus pada malam
selepas peperangan itu bukanlah Merkia yang sebenarnya tetapi
Herakos yang berwajah seribu. Pertempuran sengit berlaku, Adonis
terkorban apabila menyelamatkan Artakus dari serangan Yarrak,
Yarrak pula terkorban apabila melihat bunga Arianur (mungkin kerana
namanya disimpan di dalam bunga itu; salah satu rahsia jembalang
iaitu menyimpan nama mereka di dalam entiti yang lain) dan Artakus
terselamat apabila Gargola tidak sempat menyelamatkan dirinya
dari terkena pancaran matahari.
contributed by: mr. x |
|