| |
Sinopsis: Kota Arialun
"Adonis, aku pasti kembali..."
Bukan mudah untuk Artakus meninggalkan jasad
Adonis tanpa kubur di Arialun, tetapi itulah yang terpaksa dilakukan
kerana Arialun dipenuhi oleh tentera Morrok yang masih memerintah
kota itu. kepulangan Artakus ke Kolossus (yang telah ditawan oleh
Armorikus selepas perang Urdakis) disambut dengan gembira oleh
Atinius dan Nazril. Maklumat mengenai Arialun segera dikhabarkan
kepada mereka dan siasah baru segera dibentangkan. Namun berita
yang paling mengejutkan ialah laporan dari pasukan peninjau Armorikus
yang mendapati satu ketumbukan besar tentera Morrok sedang mara
dari lapangan Dundinium di selatan Aurora. Pasukan ini dijangka
akan bergabung dengan ketumbukan yang berada di Arialun untuk
merampas kembali Kolossus dari Armorikus. Esis pula, satu-satunya
sahabat Artakus yang tinggal setelah kehilangan Hansis dan Adonis,
menceritakan tentang kemunculan Isytarrok, makhluk yang kewujudannya
selama ini hanya didengari dari kitab-kitab Id. Kehadiran mereka
di sekitar Kolossus amat menggerunkan Esis kerana kedatangan mereka
dikatakan pasti diiringi dengan bencana, dan Artakus, walaupun
tidak pernah mendengar tentang Isytarrok sebelum ini, merasakan
kehadiran mereka pasti mempunyai kaitan dengan Permata Aurorius
yang kini berada di dalam tangannnya.
Tekaannya benar apabila dia diserang oleh beberapa
makhluk Isytarrok di dalam biliknya. Serangan ini berjaya dipatahkan
dengan bantuan Nazril yang juga dapat mengesan kehadiran mereka
di sekitar Kolossus. Dengan serangan Isytarrok ini, Artakus terpaksa
menceritakan tentang kewujudan Permata Aurorius dan pertentangan
antara Merkia dan Herakos kepada Nazril yang selama ini hanya
mengetahui kewujudan permata dan makhluk-makhluk itu melalui hikayat-hikayat
lama. Untuk memastikan Permata Aurorius itu tidak jatuh ke tangan
Herakos, Nazril mencadangkan kepada Artakus untuk melemparkan
permata itu ke dunia Underworld, melalui Gaung Hangarang yang
terletak di Banjaran Gunung Nakassos. Nazril merasakan inilah
tempat yang dirasakan sesuai memandangkan gaung ini tidak mempunyai
dasar di mana apa sahaja yang jatuh ke dalamnya akan jatuh selama-lamanya.
Dalam perjalanan mereka ke Banjaran Nakassos,
mereka sentiasa diekori oleh Isytarrok dan juga satu bayangan
yang amat mengganggu Nazril. Bayangan ini menjadi jelas apabila
mereka dihalang oleh Qrokul, Yisyrak Merah dari Morrok yang juga
merupakan rakan seguru Nazril, di pintu gua Sarngan yang merupakan
pintu masuk ke Gaung Hangarang. Cebisan-cebisan peristiwa yang
telah berlaku akhirnya bercantum menjadi jelas. Qrokul menggunakan
sihirnya ke atas Isytarrok dan mengarahkan mereka merampas Permata
Aurorius dari Artakus untuk kegunaan dirinya sendiri, dan sekaligus
ingin mencabar Herakos. Qrokul dan Isytarrok menyerang Nazril
dan Artakus. Artakus terselamat dari serangan ini sementara Nazril
hilang entah ke mana bersama-sama Qrokul, Isytarrok dan Permata
Aurorius.
Kehilangan Nazril dan Permata Aurorius membuatkan
Artakus cemas, apatah lagi dengan Merkia yang telah sekian lama
tidak muncul dengan khabar berita. Artakus kembali ke Kolossus
dan mengambil keputusan untuk menyerang Arialun sebelum ketumbukan
tentera Morrok dari Dundinium mempunyai kesempatan untuk bergabung
dengan tentera di Arialun. Dengan disertai oleh hanya 300 tentera
berkuda (sejumlah besar tentera Armorikus tidak mempunyai tunggangan
dan akan hanya tiba beberapa hari selepas tentera berkuda), Artakus
tidak mempunyai pilihan lain selain bergerak ke Arialun bersama-sama
Esis dengan tujuan untuk menawan Arialun.
Setibanya mereka di kota Arialun, mereka tersentak
apabila mendapati mayat-mayat tentera Morrok bergantungan di dinding-dinding
luar tembok kota tersebut. Mereka akhirnya mengerti bahawa penduduk
Arialun telah memberontak dan menjatuhkan pemerintahan Morrok
selepas kematian Gargola (yang sebenarnya mati di tangan Artakus)
di Arialun dan kini ia diperintah oleh Garilon. Pada mulanya,
Garilon menolak untuk membenarkan pasukan Armorikus memasuki Arialun
tetapi setelah diyakinkan oleh Artakus akan niat perjuangan mereka
yang sama, mereka bersedia untuk berbincang. Artakus dibawa bertemu
dengan Majlis Uralia, sebuah majlis yang bertanggungjawab mentadbir
Arialun, yang dipimpin oleh Garilon dan disertai oleh 4 orang
panglima Arialun iaitu Zardaron, Wellarik, Dirrak dan Skalol.
Artakus memberi maklumat kepada mereka mengenai kehadiran pasukan
tentera Morrok yang besar yang sedang mara ke arah Arialun dan
mencadangkan kerjasama antara tentera Armorikus dan Arialun. Artakus
juga memberi keyakinan kepada Arialun apabila memberitahu mereka
akan kedatangan sejumlah besar tentera Armorikus dari Kolossus
yang dipimpin oleh Atinius. Zardaron menentang dan memaksa ahli
Uralia yang lain mengikut pendapatnya, tetapi melalui undian yang
dijalankan, Uralia bersetuju membenarkan tentera Armorikus memasuki
Arialun dan sekaligus bekerjasama menentang gerombolan tentera
Morrok yang semakin hampir ke Arialun.
Kemasukan tentera Armorikus ke kota Arialun disambut
dengan gembira oleh penduduk Arialun yang sebenarnya memang memerlukan
sekutu untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan
untuk mereka di kota itu, tetapi penentangan Zardaron tidak berakhir
di meja Uralia. Zardaron telah menghantar orang kanannya, Laminon,
untuk membunuh Artakus. Cubaannya gagal, dan perancangannya didedahkan
di dalam Majlis Uralia. Zardaron tetap menafikan pembabitannya
dan Laminon di dalam percubaan untuk membunuh Artakus. Zardaron
seterusnya menggunakan pengaruhnya sebagai panglima utara Arialun
untuk menyemai perasaan hasad dengki dan huru hara dan menyebabkan
penduduk Arialun merusuh. Artakus bertambah risau memandangkan
Atinius masih belum hadir bersama tentera Armorikus dari Kolossus.
Namun rusuhan ini tidak berpanjangan apabila tentera Morrok mula
menunjukkan diri di lapangan Iskariot, suatu lapangan yang amat
luas di kaki bukit Irgonod, yang mana terletaknya Kota Arialun.
Kehadiran Morrok sekaligus mendedahkan pengkhianatan Zardaron
kepada Arialun. Zardaron secara sulit telah menghantar Laminon
untuk membantu Morrok masuk ke Arialun dengan harapan dia akan
menjadi pemerintah Arialun apabila Morrok berjaya. Namun Morrok
yang dipimpin oleh Takhun dengan angkuhnya telah menolak secara
terbuka dengan menghantar kembali mayat Laminon ke Arialun dan
menyebabkan Zardaron bertempiaran lari diburu oleh penduduk Arialun.
Morrok mula menyerang Arialun dan penduduk Arialun
dengan dibantu oleh tentera Armorikus pimpinan Artakus bertahan
dalam satu pertempuran yang sengit. Menjelang malam, Morrok mula
mengundurkan tenteranya untuk merancang strategi baru untuk mengempur
Arialun. Peluang ini diambil oleh Arialun dan Armorikus untuk
mengemaskan pertahanan kota bagi menghadapi serangan seterusnya
dari Morrok. Perbincangan tergempar Uralia menyaksikan pertikaman
lidah antara Dirrak, yang mahu bertahan di dalam kota dan Wellarik,
yang mencadangkan supaya mereka keluar dan menyerang Morrok. Keputusan
diambil untuk bertahan tetapi apabila bunyi pertempuran didengari
dari arah perkhemahan Morrok, Artakus mengambil keputusan untuk
keluar dan menyerang Morrok. Atinius telah tiba bersama tentera
berjalan kaki Armorikus dan menyerang Morrok yang telah kehilangan
banyak tenaga dari peperangan waktu siang di Arialun. Morrok tersepit
di antara tentera Armorikus dari Kolossus dan tentera bersekutu
Armorikus-Arialun dari Arialun. Kemenangan sekali lagi menjadi
milik Aurora dan Morrok pimpinan Takhun yang sombong terkubur
di lapangan Iskariot.
contributed by: mr. x |
|