Antiga Prima : Kemusnahan Gerbang Safrikin
by Orzailly the Zukkiri
…Akhirnya aku sampai di plat Harogath,
lembah terakhir yang mendatar ke pintu Kota Akkordeon. Deraian
salju nipis yang jatuh dalam gerak perlahan bagai menyambut kedatangan
yang tidak diundang di bumi terjajah yang penuh dengan tangisan
ini. Aku menyisir rambutku yang berpasirkan salju, menggugurkan
beberapa butir salji nipis yang jatuh lantas terselit dalam helaian
rerambutku yang panjang. Diusir jatuh ke bumi, kerana kehadirannya
juga tidakku undang.
“Lihat, Akkordeon di depan mata!”
ujar Alpisa sambil memacakkan javelin titaniumnya ke tanah.
Aku menarik nafas panjang, memenuhkan ruang dadaku
dengan udara segar Harogath. Kakiku bagaikan terpaku apabila mataku
takjub melihat keanggunan sebuah kota batu gunung yang amat besar
dan unik binaannya. Tersergam indah di puncak bukit, kota itu
dibina bertingkat-tingkat persis sebuah menara besar dan tinggi
dari jauh. Terdapat satu koridor bertepi yang sederhana lebar,
menghampar panjang dan semakin meninggi menuju ke arah pintu masuk,
memungkinkan dua pedati berkuda berselisih sekali lalu. Pintu
masuknya pula dikepit oleh dua buah menara bersegi empat, berwarna
agak kelam ditumbuhi lumut hitam yang mati. Manakala di belakang
pintu masuk utama tersebut berdiri gagah sebuah menara balistik
separa bulat yang besar. Susunan koridor yang panjang, pintu masuk
yang besar serta tiga menara di tepiannya itu membentuk satu formasi
laksana sebuah gerbang.
“Gerbang Safrikin,” kata-kata itu
keluar dari mulutku. Ada satu perasaan gerun di sebalik kekaguman
yang cuba diluahkan.
Nazril menghentikan langkahnya, memerhatikan
kota itu dengan satu pandangan hitam. Kami turut mengikut jejak
Nazril, melihat sambil melakukan perhitungan peribadi mencari
siasah yang mantap untuk menggempur kota ini hanya dengan kekuatan
seorang Karman, seorang Zukkiri dan empat orang Qarzaig yang setia
bersamaku.
Kami sememangnya telah bersedia untuk menerima
apa sahaja kemungkinan dan risiko yang mendatang, kerana hanya
itulah pilihan yang ada demi untuk merampas dan menyelamatkan
kembali Dewi Zurenna yang disembunyikan di dalam kota ini. Dan
masa tidak diberikan terlalu lama kepadaku untuk menyelesaikan
misi ini. Ah, peperangan semakin hampir di lembah Akturius. Kehadiranku
amat diperlukan oleh orang-orang Aurora, lebih-lebih lagi oleh
seluruh armada Antiga Prima yang kini di bawah kepimpinan Artakus.
Aku tidak akan memungkiri janji untuk berperang
di sebelahnya kelak, mempertahankan seluruh kelana Aurora daripada
genosid Morrok durjana. Itulah titah yang kujunjung, ikrar yang
kulafaz bersama sumpah yang setia di hadapan Maharaja Tarsonis
IV tatkala baginda menyerahkan Zaradilan kepadaku…pedang
Tarsonis yang membawa seribu kekuatan serta ketangkasan Zukkiri-zukkiri
yang pernah gugur tatkala bersabung nyawa bergolak gadai mempertahankan
Kerajaan Tarsonis di medan perang semenjak beribu-ribu tahun yang
lepas. Semangat mereka kini bersamaku, dan tidak pernah mati serta
sentiasa menghidupkan api perjuanganku dalam setiap pertarungan.
“Gerbang itu harus diselesaikan terlebih
dahulu,” ujar Nazril tanpa melihatku. Pandangannya masih
difokuskan ke arah kota batu gunung itu.
“Adakah kota ini masih berpenghuni? Siapakah
yang mendiaminya kini?” soal Kantera, Qarzaigku yang termuda.
“Krawk,” jawabku sepatah.
Kantera menyambut jawapanku itu dengan mata yang
semakin mengecil dan kening yang semakin berkerut. Aku faham.
“Makhluk-makhluk hodoh berdarah hitam,
bertaring, berduri di seluruh badan, bermata merah serta bertanduk
dari dunia hitam yang memuja kegelapan. Bersayap, tetapi tidak
boleh terbang,” tambahku tersenyum. Namun, senyumanku itu
menambahkan kerut di dahinya.
“Sekutu Herakos?” soalnya lagi. Vladarek
yang dari tadi mendengar mula menunjukkan minat untuk mengambil
bahagian mencurahkan ilmu pengetahuan kepada Qarzaig kesayanganku
ini. Tetapi minatnya tidak serius.
“Herakos tidak mempunyai sekutu yang tampan
dan kacak seperti kita,” pintas Vladarek, memberikan satu
jawapan yang membuatkan aku dan Wulfkar tergelak kecil. Kantera
hanya tersenyum.
“Semenjak empayar Kyri yang memerintah
Kota Akkordeon jatuh digempur tentera Krawk, seluruh kota ini
telah menjadi sarang mereka. Krawk hanya bertuankan Ungkrai, sang
penunggu kota yang telah mengkhianati seluruh kelana Kyri dengan
membuka pod sihir di Gerbang Safrikin. Dan kerana itulah, Kota
Akkordeon jatuh dan seluruh penghuninya disembelih dan dimakan,”
ujarku tanpa senyuman seperti tadi. Serius. Aku menyisir rambutku,
menepis gumpalan salji yang semakin menebal.
“Dan itulah matlamat pertama kita untuk
memasuki kota ini. Memusnahkan Gerbang Safrikin terlebih dahulu
dengan menewaskan Ungkrai yang menjaga pod sihir,” celah
Nazril. “Terdapat sembilan pod sihir yang harus dinyahaktifkan
sebelum kita boleh memasukinya. Namun, dengan membunuh Ungkrai,
secara tersendirinya kesemua pod itu akan lenyap dan kita hanya
memerlukan pedang dan perisai sahaja untuk berhadapan dengan Krawk
yang hanya kuat pada bilangan,”.
“Apakah Krawk tidak memiliki sebarang kekuatan
magis?” soal Kantera lagi.
“Tidak. Tubuh mereka bisa dicederakan dengan
tikaman pedang dan tusukan panah. Cuma mereka sangat rakus dan
bilangan mereka pula ramai. Namun, berhadapan dengan mereka ku
kira bukanlah satu masalah lagi untukmu, sekiranya kita berjaya
menewaskan Ungkrai.”
“Mengapa pula demikian?”
“Kerana Ungkrai adalah nyawa mereka. Membunuh
Ungkrai akan menghapuskan seluruh Krawk dari dunia ini. Dan kerana
itu, kita harus menewaskan Ungkrai secepat mungkin,” jawab
Nazril memenuhi pertanyaan Qarzaigku itu.
Aku mengerti apa yang cuba dilakukan oleh Kantera.
Menganalisis. Mengenalpasti siapakah musuh kita akan memberikan
kita kekuatan untuk berhadapan dengannya. Menilai kekuatan musuh
pula, akan menjadikan kita lebih yakin dengan kemampuan diri.
Kemudian, barulah satu percaturan siasah yang mantap dapat diilhamkan,
hasil daripada persebatian antara kebijaksanaan dan kekuatan.
Aku kira, persediaan peringkat pertama untuk bertempur telah selesai
secara peribadi bagi dirinya.
Keadaan kembali menjadi sepi. Fikiran masing-masing
melayang jauh ke dalam kota itu. Sesekali angin sejuk bertiup
nyaman bersama kesejukan Harogath yang dilanda salji rahmat. Dalam
masa yang sama, aku juga turut membuat perhitungan agar pertempuran
yang bakal terjadi nanti tidak memakan masa yang lama supaya risiko
pertempuran tidak menjadi terlalu berat. Menghadapi seluruh angkatan
perang sebuah kota dengan kekuatan enam karektor pahlawan adalah
sesuatu yang mungkin gila dan tidak munasabah. Namun, aku yakin
dengan kemampuan yang tersendiri, setiap Qarzaigku mampu membentuk
satu kombinasi pertahanan dan serangan yang mantap dan padu apabila
bertarung secara bersama. Malah, dengan kehadiran Nazril, restu
Arasis bersama kami.
Kami meneruskan langkah menuju ke koridor masuk
kota Akkordeon. Semakin kami menghampirinya, Zaradilan bergegar
kuat dalam sarungnya, minta dikeluarkan. Angin pula bertiup sayu,
meniup rerambutku yang sekali-sekala dilekati salju. Langkah Nazril
mendahului kami, tenang dan yakin walau jubah putihnya menggerbang
dihembus sang bayu. Tiba-tiba, dia menghentikan langkahnya tatkala
kami hanya sepelaung dari koridor masuk. Dia memandang ke timur,
melihat Arasis sudah mula terbit dan cahayanya sesamar pelita
yang cuba menelan gelita sang malam. Aku melihat dia mengecilkan
mata dengan wajah tuanya yang dipenuhi gegaris usia, kemudian
mulutnya terkumat-kamit persis mengungkap kalimah sihir dan seraya
itu menganggukkan kepalanya. Dia seolah telah mengesan sesuatu
yang tidak dapat dilihat oleh pandangan biasa. Lantaran perasaan
ingin tahu, aku menyuarakan pertanyaan kepadanya.
“Kita tidak bersendirian,” ujarnya
ringkas.
“Apakah maksudmu, wahai Karman?”
soalku pula meminta penjelasan.
“Merkia sedang memerhatikan kita, bersama
Azkram dan Artakus di Lembah Akturius,” jelas Nazril kepadaku.
Pasti melalui bebola kaca milik Merkia. Bukankah
dia yang telah menghantar Nazril kepadaku, dan pertemuan dramatik
kami di Lembah Arsilliath tempoh hari adalah di bawah perancangannya.
Sekurang-kurangnya, mereka turut memberikan sokongan moral kepada
kami dari jauh.
Tiba-tiba, angin bertiup semakin kuat. Jeritan
mula kedengaran dari arah kota diikuti bunyi hiruk pikuk yang
mengerikan. Deria betazoidku mengesan bahaya, lantas tangan kananku
menghunus Zaradilan keluar dari persarungannya. Kesemua Qarzaigku
turut mengikuti jejakku. Aku memerhati ke arah kota, mencari sebarang
pergerakan musuh yang masih belum nampak.
Vladarek mula mengeluarkan beberapa batang skepter
kromiumnya yang bercerai dan memasangnya bersambungan menjadi
satu platform ringkas. Kemudian dia mencantumkan panah stagnan
miliknya di pertengahan platform itu, lantas menjadi sebuah katapult
yang mampu memberikan jarak sasaran yang lebih jauh dengan momentum
yang lebih kuat pada halaju yang tinggi. Dia kini bersedia mensasarkan
anak panah vulkirnium, sejenis anak panah tersihir yang mencari
sasaran sendiri dan punyai tahap kemusnahan laksana halilintar.
Jaringan sihir yang telah membelenggu seluruh kota tersebut tidak
akan membenarkan panah biasa menghujaninya.
“Masanya telah tiba,” ujar Nazril
dalam kelantangan suara yang ditelan angin.
“Vladarek, binasakan menara tengah, Ungkrai
pasti di situ!” arahku kepada Vladarek, menegaskan kembali
betapa pentingnya menewaskan penunggu kota itu secepat mungkin
sebelum lebih banyak makhluk-makhluk Krawk itu keluar melalui
koridor kota dan menuju ke arah kami. Sememangnya, itulah siasah
Nazril. Menggempur pertahanan sihir kota dari jauh, memaksa Ungkrai
keluar secepat mungkin sementara kami bertahan disini sambil menanti
kedatangan Krawk yang akan muncul pada bila-bila masa sahaja.
Vulkirnium yang pertama dilepaskan menghala ke
arah menara ballistik, meninggalkan desingan bingit laksana petir
yang menyambar di depan mata. Semakin jauh panah sakti itu melayang,
semakin mampan ia menuju ke sasarannya dalam kepantasan yang amat,
memustahilkan sebarang perisai pun menahannya. Tatkala ini, ia
kelihatan umpama cahaya putih persis halilintar deras membelah
udara, dan cahaya putih itu kini berpecah-pecah sehingga menjadi
tujuh bahagian yang semakin menghampiri sasaran.
Bumi seakan bergegar ketika kesemua vulkirnium
itu menghentam dinding menara ballistik satu per satu, diiringi
bunyi kuat dan letupan api yang dahsyat. Batu-batu gunung yang
selama ini diikat jitu menjadi susunan geometri kota kini berterbangan,
laksana debu kering yang ditiup angin dataran. Dalam gerak perlahan,
menara ballistik itu mula dilanda keruntuhan ketika makhluk-makhluk
Krawk itu mula muncul dari celah kota, berlari rakus menuju ke
arah kami. Semakin lama mereka semakin hampir, dan semakin jelas
wajah mereka kulihat. Tubuh hitam mereka seperti manusia kerdil
yang cacat di sana sini dan kelihatan bongkok, berlari melalui
koridor kota sambil galak menjerit kemarahan. Pandangan mata merah
mereka dengan kepala yang bertanduk satu di depan persis sang
singa yang kelaparan daging merah berdarah.
Tatkala itu, telingaku pekak mendengar satu jeritan
besar yang amat mengerikan. Seluruh kota yang bermandi api kini
bergegar sekali lagi, seakan terdapat seekor naga besar yang ingin
keluar dari belenggu perut kota. Dan Krawk itu semakin menghampiri!
“Ungkrai sudah mula bangun!” jerit
Nazril, memegang erat tongkat sepunggurnya yang dihalanya ke atas.
“Orzailly! Halang mereka daripada mendekatiku!”
jeritnya lagi dan terus duduk bersila di atas tanah lalu memejamkan
matanya dan mula membaca mantera. Maka, bermulalah tugas Karman
Armorikus ini menguruskan Ungkrai. Manakala tugasku bersama yang
lain ialah melindungi Nazril daripada serangan Krawk, dan melengahkan
Ungkrai sementara memberi Nazril masa yang secukupnya untuk dia
menyelesaikan mantera sihir khas untuk membunuh Ungkrai.
Vladarek melepaskan vulkirnium kedua, yang kemudiannya
telah berpecah menjadi sembilan cahaya kuning emas. Kali ini sasarannya
setiap satunya ialah ke arah kesembilan pod sihir Gerbang Safrikin
yang mesti dimusnahkan sebelum Nazril bisa meragut nyawa Ungkrai.
Dalam masa yang sama, Kantera, Wulfkar dan Alpisa bertubi-tubi
melepaskan panah masing-masing ke arah musuh yang berduyunan menuju
ke arah kami melalui koridor kota, laksana segerombolan semut
yang melintasi sebatang dahan, dan mereka semakin mendekatiku
yang berdiri di depan bersama Zaradilan dan perisai gothic yang
kemas dalam genggaman. Kelihatan beberapa puluh ekor Krawk rebah
ditusuk panah dan jatuh ke bawah gaung. Namun, asakan mereka yang
lain terlalu ramai untuk dijamah oleh panah-panah Qarzaigku.
“Mereka bersenjatakan kayu dan logam!”
seru Wulfkar berdasarkan pemerhatiannya yang semakin jelas, memberi
amaran.
“Dan bertubuh tanpa perisai!” balas
Kantera, masih lagi dengan analisisnya. Mungkin yang terakhir
dan lebih berbentuk kesimpulan barangkali.
“Bersedia wahai Qarzaigku sekalian! Lindungi
Nazril!” tempikku tatkala melihat musuh hanya sepergalah
dariku. Serentak dengan itu, panah dijatuhkan dan senjata masing-masing
dihunus keluar.
Buat pertama kalinya semenjak meninggalkan Tarsonis,
aku menghayunkan Zaradilan ke arah musuh di depanku sambil tubuhku
berpusing-pusing mengelak terjahan musuh yang menggila, menangkis
beberapa senjata logam dan belantan duri yang dihalakan ke arahku,
dan disambung dengan hayunan kedua yang berjaya memutuskan kepala
tiga ekor Krawk. Ternyata aku masih belum kehilangan rentak tarian
bertarung bersama keserasian Zaradilanku yang kini sudah mula
bertintakan darah hitam.
Hayunan seterusnya menyebabkan seekor lagi Krawk
gugur di tepiku, sebelum perisai gothicku menepis beberapa tikaman
belantan musuh dan diakhiri dengan robekan pedang di dada mereka.
Kemudian aku berpusing ke kanan sambil menarik Zaradilan dari
dada musuh, memberikan satu tendangan di perut seekor Krawk yang
cuba menerkamku dari arah belakang. Dalam masa yang sama, aku
menghentakkan perisai gothic ke kiri di kepala seekor Krawk yang
pening-pening lalat sebelum aku menikam leher Krawk yang kuterajang
sebentar tadi. Untuk Krawk yang masih pening-pening lalat tadi,
aku menghadiahkannya satu tumbukan tangan kananku yang masih menggenggam
Zaradilan, lalu menyebabkan ia tersungkur jatuh. Kemudian Zaradilan
kuhayun ke kiri menikam belakang seekor Krawk, diikuti satu hayunan
ke depan, ke atas dan ke bawah, menjadi seperti satu formasi tarian
yang berjaya meragut nyawa lima ekor Krawk sekaligus. Namun, tumpuanku
masih terhadap Krawk yang pening-pening lalat sebentar tadi di
belakangku. Deria betazoidku mengesan pergerakan terbarunya cuba
menghayunkankan belantannya ke arahku. Aku tidak mengelak, tetapi
hanya menundukkan sedikit kepalaku untuk memberikan laluan sebatang
panah vulkirnium melintasi kepalaku lalu menembusi tubuh Krawk
itu. Aku menjeling ke arah Vladarek sepintas lalu sebelum meneruskan
pertempuran.
Dalam masa yang sama, kulihat Alpisa begitu lincah
menghayunkan javelin titaniumnya di sebelahku, memancung dan menikam
tubuh musuh manakala Wulfkar pula adalah yang paling bersemangat
dan agresif sekali, dengan jeritan kuat dan laungan nyaringnya
yang penuh dengan perasaan kegeraman dan api kemarahan. Ganas.
Kantera pula kulihat begitu tangkas dan lincah menghayunkan Tharsis,
pedang kuprum dua tangan yang panjang dan ringan. Dan Qarzaig
muda ini hanya memiliki satu tabiat teknik membunuh musuh, pemenggalan
kepala. Hampir semua Krawk yang gugur kerananya kulihat tidak
berkepala lagi. Kerana itulah dia tidak pernah kuberi sebarang
tugasan untuk menangkap hidup-hidup seseorang musuh, kerana biasanya
apa yang akan dipersembahkan kepadaku hanyalah kepala.
Musuh semakin hebat mengasak, semakin bertambah
bilangannya. Dan aku semakin tertekan. Tumpuan Qarzaigku mula
berubah ditenggelami musuh yang ramai. Pertahananku terhadap serangan
mereka laksana menahan air dari empangan pecah. Kalori tubuhku
terbakar di tahap maksimum dalam setiap sel otot lantaran kardiovaskular
yang semakin meningkat. Arus respirasiku bertambah, nafasku sekencang
taufan, mengikut rentak jantung yang semakin ligat berdegup mengepam
darah segar ke segenap pelusuk tubuh, membawa oksigen dalam setiap
plasma merah. Ah, mataku bertukar putih laksana mutiara yang berkilau
dalam bayang air. Deria betazoidku kini mengatasi peranan otak
dan saraf tunjang, mengawal setiap pergerakanku, hayunan Zaradilan
dan rentak kakiku yang menjadi semakin lincah mengadaptasi tarian
perang. Mengelak, menepis dan menikam. Dalam keadaan ini, genggaman
pedangku menjadi semakin erat, momentum hayunan Zaradilan bertambah
berat. Aku semakin tangkas, semakin kuat tatkala rentak Qarzaigku
yang lain semakin ke belakang. Aku ibarat dibantu oleh suatu kuasa,
yang mungkin datangnya dari Zaradilan, persis terserunya segala
roh Zukkiri Tarsonis di alam barzakh yang bangkit dan datang kepadaku.
Raungan perangku menelan dingin salji, mencetus bara dan menyalakan
kembali semangat peperangan para Qarzaig.
Arus pertempuran kembali berubah. Alpisa kembali
mengorak langkah depan. Kelihatan javelin titaniumnya semakin
ligat meragut. Wulfkar semakin tegar. Pertahanannya semakin mantap,
dan serangannya kian padu. Vladarek dan Kantera pula kini berganding
melakukan pertempuran satu-dua dalam kombinasi yang berpusing-pusing.
Namun, arus peperangan tidak lama berpihak kepadaku apabila secara
tiba-tiba Kota Akkordeon kembali bergegar. Dari jauh aku melihat
satu letupan yang besar, merobohkan dinding kota laksana digempur
gergasi besar. Dan apabila bebatu kota itu habis jatuh ke tanah
bersama debu yang berterbangan, dalam pergerakan yang amat laju
melayang ke arahku, aku melihat satu bayangan gergasi hitam yang
hodoh dan besar, cukup menyebabkan aku tergamam dan lemah seketika.
Ungkrai!
Dalam asakan Krawk yang semakin menggila, arus
pertempuranku kembali terhimpit, dan semakin terhimpit melihat
junaman Ungkrai ke arahku. Bagai nyawa di hujung tanduk, namun
berpantang ajal tidak sekali sebelum maut! Aku melibas musuh di
sekelilingku, sebelum melontarkan Zaradilan ke arah Ungkrai. Tatkala
Zaradilan membenam dadanya, satu cahaya putih yang amat terang,
sekilau sinar teras mentari, menjamah tubuh hitam Ungkrai lalu
menghasilkan satu letupan yang bisa memecahkan gegendang telingaku
dan membutakan mataku. Dan pandanganku semakin lama semakin kabur,
duniaku putih seketika sewaktu aku melihat bayangan Dewi Zurenna
di depan mata. Kemudian segalanya menjadi gelap.... |